Pesta Tagal jaga alam sekitar cara tradisi

SEHARI pada Mei setiap tahun menjadi saat paling dinantikan Japanis Sabin, dari Kampung Tambatuon, untuk balik kampung dan melupakan seketika kesibukan tugas di Kota Kinabalu.

Penantian ini bagi Japanis, 36, bukan saja kerana Mei tanda bermulanya Pesta Kaamatan, tetapi disebabkan kemeriahan acara Pesta Tagal di Sungai Kadamaian, tidak jauh dari kampungnya.

Baginya, Pesta Tagal adalah peluang untuknya bertemu saudara serta sahabat handai yang turut balik kampung menyertai kemeriahan pesta berkenaan.

Taga dalam bahasa Dusun bermakna larangan menangkap ikan di sungai tertentu, biasanya bagi tempoh setahun atau dua tahun.

Ia adalah tradisi masyarakat Dusun yang sudah diamalkan sekian lama. Bagaimanapun, larangan itu akan ditarik untuk sehari dan tahun ini, ia dilakukan pada Sabtu, baru-baru ini.

Pesta Tagal itu disertai kira-kira 800 orang penduduk Kampung Tambatuon di Sungai Kadamaian.

Sistem Tagal adalah kaedah pemuliharaan sungai secara tradisi yang direka penduduk kampung sendiri supaya ia tidak tercemar serta melindungi hidupan di dalamnya daripada pupus.

Kini, sungai terbabit menjadi penjana pendapatan baru kepada penduduk luar bandar melalui ekopelancongan.

Larangan menangkap ikan yang dikuatkuasakan pemimpin kampung, biasanya ketua kampung mesti dipatuhi penduduk berkenaan atau orang luar yang datang ke kampung itu.

Sesiapa yang melanggar peraturan berkenaan bukan saja dicemuh penduduk kampung, tetapi juga dikenakan sogit iaitu denda atau hukuman yang ditentukan pemimpin kampung.

Biasanya, denda yang dikenakan adalah seekor kerbau atau babi atau membayar dalam bentuk wang setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Sepanjang pesta ini, penduduk kampung secara bergotong-royong bebas menangkap ikan sepuas-puasnya.

Semua ikan yang ditangkap, dikumpulkan sebelum dibahagi-bahagikan sesama mereka, tetapi bukan untuk dijual.

Sebahagian ikan yang ditangkap itu dimasak penduduk kampung untuk dinikmati beramai-ramai bagaikan satu kenduri besar. Kenduri itu dalam bahasa Dusun Kota Belud dinamakan moginakan.

Biasanya ikan yang ditangkap ialah kelah atau pait (dalam bahasa Dusun) dan jenis lain seperti sarawi, betuan dan sinsilog (sejenis belut sungai).

Ada ikan kelah yang ditangkap mencecah RM100 hingga RM300 seekor, bergantung kepada saiz dan beratnya yang biasanya antara tiga hingga lima kilogram.

Satu daripada keunikan pesta ini ialah penduduk hanya dibenarkan menangkap ikan menggunakan alat tradisi seperti rambat, pukat dan senapang ikan.

Penggunaan bahan lain seperti racun, tuba atau cara lain yang boleh memudaratkan populasi ikan, ditegah sama sekali.

Kini selepas 10 tahun pesta berkenaan diadakan, Sungai Kadamaian turut menjadi tempat tarikan pelancong di samping menjadi wadah mengeratkan hubungan di kalangan penduduk asal kampung ini.

Pesta Tagal ini bukan saja boleh menjaga alam sekitar daripada dicemari dan sumber ikan daripada pupus malah dapat mendisiplinkan penduduk kampung.

Sumber: Harian Metro
(Khamis, 4 Jun 2009)

0 comments: