KL, Beijing kian akrab

Daripada Manja Ismail di Beijing





PERDANA Menteri China, Wen Jiabao menyambut ketibaan Najib di Great Hall of the People, semalam.












Najib azam tingkat lagi hubungan bagi manfaat rakyat


DATUK Seri Najib Razak semalam berazam untuk membawa hubungan Malaysia-China, yang dirintis bapanya 35 tahun lalu, ke peringkat lebih tinggi dan memberi manfaat lebih besar kepada rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, hasil keberanian dan keputusan bijak generasi Allahyarham Tun Razak Hussein dan mendiang Zhou Enlai untuk menjalin hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 1974 sedang dinikmati generasi pemimpin Malaysia-China sekarang. "Saya sebagai anak Tun Razak, berazam untuk membawa hubungan kedua-dua negara ke peringkat yang jauh lebih tinggi. Kalau pepatah Cina ada menyebut 'kalau minum air dari telaga, jangan lupa orang yang menggalinya', saya ingin ubah sedikit iaitu kita gali lebih banyak telaga.

"Menjadi tanggungjawab pemimpin Malaysia generasi saya untuk menggali lebih banyak telaga supaya lebih banyak airnya mengalir untuk dinikmati rakyat kedua-dua negara," katanya ketika berucap selepas menerima anugerah Doktor Kehormat daripada Beijing Foreign Studies University (BFSU) di sini.

Anugerah itu, yang disampaikan oleh Presiden BFSU merangkap Timbalan Menteri Pendidikan China, Prof Hao Ping adalah lambang keakraban hubungan Malaysia-China khususnya dalam bidang pendidikan, bahasa dan kebudayaan.

BFSU adalah antara universiti terkemuka di China dan menawarkan pengkhususan dalam pengajaran bahasa asing termasuk Bahasa Melayu. Selain mempunyai Jabatan Penggajian Malaysia sejak 12 tahun lalu, BFSU pada 2007 menyediakan Kerusi Penggajian Melayu.

Tahun ini saja, lebih 60 pelajar China mengikuti program Penggajian Melayu, manakala 36 pelajar Malaysia mempelajari bahasa Cina di peringkat ijazah.

Najib, yang berucap dalam bahasa Melayu tanpa teks, memetik pepatah Cina 'perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama' ketika mengimbau sejarah Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China 35 tahun lalu.

"Apabila Tun Razak membuat keputusan untuk menjalin hubungan dengan China, Allahyarham barangkali tidak memikir langkah pertama atau kedua bagi perjalanan seribu batu. Hari ini, kita menyusuli dan menikmati hasil langkah pertama Allahyarham Tun Razak dan mendiang Zhou Enlai itu.

"Saya ketika itu tidak dapat bersama Allahyarham kerana masih belajar tetapi sempat mendengar sebaris ayat Allahyarham mengenai lawatannya ke China, yang masih jelas dan besar maknanya.

"Allahyarham berkata 'I can work with Zhou Enlai and have the greatest respect for him', menggambarkan keyakinan beliau kepada kepemimpinan China ketika itu untuk memajukan negara ini. Atas keyakinan yang samalah, saya berazam untuk membawa hubungan ini ke tahap yang lebih tinggi," tegas Najib.

Perdana Menteri mengulangi pendirian Malaysia yang tidak pernah menganggap China sebagai ancaman, sebaliknya melihat Beijing sebagai rakan kongsi penting untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.

Malah, katanya, hubungan kedua-dua negara bermula sebagai sahabat sejak 600 tahun lalu ketika Dinasti Ming menghantar armadanya merangkumi 30,000 tentera dan 300 kapal diketuai Laksamana Cheng Ho ke Melaka.

"Bagaimanapun China tidak menawan Melaka ketika itu, sebaliknya menghulurkan tangan persahabatan. China tidak pernah menjadi ancaman kepada Malaysia dan negara serantau. Saya ingin melihat segala kemungkinan yang memanfaatkan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; ibunya, Tun Rahah Noah serta beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Sumber: Berita Harian
(Khamis, 4 Jun 2009)

0 comments: