Pengusaha tani Sabah perlu bantu negara mengurangkan defisit

KOTA KINABALU: Para pengusaha pertanian di Sabah perlu menekankan aspek pengeluaran, penjenamaan, pembungkusan dan penjualan produk bagi membantu negara mengurangkan defisit pada sektor pertanian, kata Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Sairin Karno.

Katanya usaha perlu dilakukan untuk memantapkan sektor pertanian bagi mengelakkan masalah defisit dagangan terus meningkat pada masa depan.

Defisit dagangan sektor pertanian negara dijangka meningkat kepada RM10.9 bilion pada tahun depan, katanya semasa merasmikan Seminar Pengalakan dan Pengembangan Inovasi Industri Asas Tani di sini kelmarin.

“Kerajaan memberi fokus yang cukup jelas dengan menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu bidang penting dan dijangka berupaya menjana pertumbuhan ekonomi negeri ini pada masa hadapan,” katanya.

“Oleh sebab itu, kita perlu mengawal kualiti produk dan meningkatkan pengeluaran barangan agar mampu mengukuhkan kedudukan negara di pasaran antarabangsa,” katanya.

Di samping itu, kerajaan juga berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai pengeluar utama makanan negara pada masa akan datang, katanya, sambil menyatakan usaha itu sepatutnya dimanfaatkan oleh pengusaha tani di kawasan luar bandar Sabah

Seminar sehari itu dihadiri 200 peserta, dari seluruh negeri ini, yang terdiri daripada pengusaha kecil industri tani, pegawai kerajaan, peniaga dan individu yang berminat dengan isu yang dibincangkan itu.

Sumber: New Sabah Times
(Rabu, 17 Jun 2009)

0 comments: