Dengan siapa hendak mengadu, kata Pengadu

  • “Pihak kami sebenarnya tidak mempunyai autoriti dalam kes memandu melebihi had laju yang ditetapkan… Namun pihak kami akan panjangkan aduan ini kepada pihak yang bertanggungjawab dalam kadar segera”….

Tertarik dengan jawapan pihak LPKP dalam ruangan ActionLine (4 Jun) berhubung aduan pengadu terhadap pemandu bas mini yang memandu melebihi had laju, STANLEY menghubungi ActionLine bagi memberi komen beliau.

Katanya, “setelah membaca aduan tersebut dan jawapan daripada pihak LPKP, saya mula terfikir…. Jika aduan seperti ini (memandu melebihi had laju) bukan dalam bidang kuasa LPKP, jadi apa sebenarnya yang boleh diadukan oleh pengguna? Walaupun aduan ini dipanjangkan oleh LPKP kepada pihak yang sepatutnya, sejauh manakah aduan pengguna mendapat perhatian”?

“Saya bukannya mahu mengatakan LPKP tidak buat kerja, cuma saya agak hairan kerana kebanyakkan bas mini dan bas berhenti-henti, tertera nombor aduan LPKP 1 800 88 4266 atau SMS:088231024 di belakang kenderaan. Maka logiknya apa-apa aduan mengenai kenderaan awam akan diadukan kepada LPKP,” jelasnya.

“Jika mereka tidak mempunyai autoriti dalam menyelesaikan aduan seperti ini, mengapa tidak dilekatkan Hotline polis trafik dan JPJ di belakang kenderaan awam supaya pengguna boleh menghubungi secara langsung pihak yang bertanggungjawab,” soalnya.

Tambahnya lagi, “saya sendiri berpendapat bahawa situasi yang diadukan oleh DANIELLE adalah betul. Ini kerana saya juga sentiasa berdepan dengan perkara seperti ini. Malah sebelum ini ketika memandu, ada pemandu bas mini yang suka bermain langgar-melanggar antara satu sama lain. Walaupun mereka sekadar bergurau, namun bagi saya jalan raya bukannya Taman Permainan”.

“Saya sendiri tidak tahu hendak mengadu dengan siapa? Kepada LPKP, jawapan yang selalu diberikan ‘kami akan panjangkan aduan ini kepada…..’ Hendak mengadu dengan Polis Trafik ataupun JPJ, mereka pastinya mahukan bukti. Jadi dilema saya sekarang bagaimana mahu mendapatkan bukti. Saya bukannya individu yang sentiasa membawa videocam ataupun kamera…. Jika gunakan handphone, sukar juga kerana saya juga memandu…. Silap haribulan, saya pula yang ditimpa masalah,” katanya.

“Saya berharap pertanyaan dan komen saya ini tidak menyinggung mana-mana pihak kerana saya cuma ingin tahu dan bukannya menunding jari kepada mana-mana pihak. Mungkin ada baikknya jikalau perkara kecil seperti ini diberi perhatian demi kebaikan bersama” pintanya.

Justeru, pengadu berharap agar mana-mana pihak yang mempunyai autoriti dalam hal ini dapat menjelaskan perkara yang patut dilakukan oleh pengadu.

  • Jurucakap LPKP ketika dihubungi oleh ActionLine menjelaskan bahawa pihak mereka tetap menerima apa pun aduan pengadu malah pihak mereka akan memanjangkan aduan tersebut kepada pihak yang berkaitan jika masalah yang diadukan adalah di luar bidang kuasa LPKP.

Katantya, “antara jenis kesalahan yang berada dalam bidang kuasa LPKP ialah mengenakan tambang lebih, pemandu enggan ambil/hantar penumpang, pemandu bas tidak berpakaian seragam lengkap, gagal pamer jadual tambang atau jadual perjalanan bas. Denda maksimum RM300 bagi setiap kesalahan”.

Ketika ditanya mengenai bukti, jurucakap LPKP menjelaskan bahawa pihak mereka akan menerima seadanya aduan pengadu.

“Setiap aduan yang dipanjangkan kepada LPKP dan berada dalam bidang kuasa LPKP akan disiasat terlebih dahulu sebelum membuat tindakan lanjut. Ini bermakna jika pengadu yang membuat aduan mempunyai bukti, hal ini akan memudahkan pihak kami membuat tindakan tetapi jika pengadu tidak mempunyai bukti kami tetap akan menerima aduan pengadu dan menjalankan siasatan terhadap aduan yang dibuat” jelasnya.

Tambahnya lagi, “siasatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum mengenakan hukuman bagi mengelakkan mana-mana pihak teraniaya”.

ActionLine seterusnya menghubungi Balai Polis Kota Kinabalu bahagian Trafik bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak mereka berhubung persoalan pengadu mengenai cara mendapatkan bukti.

Jurucakap bagi Polis Trafik mengatakan bahawa pengadu boleh menghubungi Rakan Kop atau balai polis terdekat bagi memaklumkan kejadian yang berlaku.

“Memang bukti sangat penting namun kami tetap bertindak mengikut aduan yang diterima. Maka, pengadu haruslah menyatakan nombor kenderaan, tarikh, masa dan tempat kejadian bagi membolehkan pihak kami menjalankan siasatan seterusnya membuat tindakan,” jelasnya.

Manakala Pihak JPJ ketika dihubungi oleh ActionLine pula mengakui agak sukar menerima aduan ‘memandu melebihi had laju’ tanpa bukti.

“Walau bagaimanapun pihak kami tetap menerima aduan yang dipanjangkan kepada kami dan tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan bagi kebaikan semua pihak. Empat perkara penting yang perlu dinyatakan oleh pengadu ialah nombor kenderaan, tarikh, masa dan tempat kejadian,” tambahnya.

Sumber: New Sabah Times
(Selasa, 9 Jun 2009)

0 comments: