Pantau Ejen Yang Tidak Berdaftar

SIDANG MEDIA ... Maznah (tengah) bersama Siti Aishah (kiri)
semasa sidang media itu.

KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Manusia meminta para pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di negeri ini supa-ya memantau operasi ejen-ejen pencari kerja yang tidak ber-daftar bagi mengelak penipuan.

Timbalan Menterinya Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, ini penting kerana daripada 120 ejen pencari kerja di Sabah hanya satu yang aktif iaitu yang boleh membawa pekerja keluar daripada negeri ini.

“Bagaimanapun saya difahamkan bahawa ejan atau syarikat itu tidak lagi aktif membawa pekerja keluar. Oleh itu saya meminta para pegawai JTK Sabah supaya memantau keadaan ini (ejen pencari kerja) dan mendapatkan apa sahaja maklumat yang ada termasuk yang beroperasi di kawasan luar bandar.

“Selain melalui ejen pencari kerja, ada juga individu atau orang yang dikenali mencari pencari kerja dari negeri ini untuk bekerja di luar negara terutamanya Singapura, tetapi setelah pergi ke sana baru mereka tahu bahawa mereka tertipu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat ringkas oleh ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementeri-an Sumber Manusia, di Pasific Sutera, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah JTK Sabah Siti Aishah Mohd Asri.

Maznah berkata, sehingga April lalu, Pejabat Atase Buruh Singapura yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal warga Malaysia yang bekerja di Singapura menerima sebanyak 139 aduan membabitkan rakyat Sabah yang bekerja di negara itu.

Katanya, daripada jumlah itu, aduan tertinggi diterima pada bulan April iaitu sebanyak 53 aduan, Januari (34 aduan), Februari (28 aduan) dan Mac (24 aduan).

“Antara jenis aduan yang diterima ialah keadaan tempat tinggal yang kurang memuaskan sebanyak 24 aduan, tempoh kerja yang panjang (18), tawaran kerja yang tidak sama seperti yang dijanjikan (15) dan syarat kontrak yang berbeza seperti yang dijanjikan (14).

“Ini adalah antara sebahagian daripada masalah yang direkodkan melalui aduan,” katanya dan menambah, ibu bapa dan ahli keluarga pekerja juga membuat aduan di JTK di negeri ini kerana tidak mendapat berita daripada ahli keluarga mereka yang bekerja di Singapura.

Selain itu, katanya, aduan turut membabitkan kes majikan dan ejen pencari kerja memukul pekerja iaitu masing-masing satu kes, majikan memaksa kerja lebih masa tanpa bayaran (sembilan aduan), majikan enggan membatalkan permit kerja (dua aduan) dan kad pengenalan dipegang oleh ejen di Singapura (enam aduan).

“Bagi mengatasi masalah itu, JTK Sabah akan meningkatkan aktiviti pemantauan dan pemeriksaan terhadap ejen-ejen pencari kerja yang beroperasi di Sabah untuk mengelakkan rakyat di negeri ini terpedaya dengan helah mereka yang sering menjanjikan tawaran gaji lumayan bagi menarik minat rakyat untuk bekerja di singapura.

“Pada masa yang sama, JTK Sabah juga berusaha mengadakan kempen kesedaran di kalangan pencari kerja supaya aktiviti penipuan oleh ejen pencari kerja ini dapat dikawal termasuk mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua masyarakat di peringkat daerah.

“Kita juga menyebarkan maklumat mengenai kegiatan ejen pencari kerja yang tidak bertanggungjawab menerusi media cetak dan elektronik serta mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi pekerjaan swasta yang melanggar Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1982,” katanya.

Katanya lagi, bagi mengatasi masalah pekerja yang bekerja di luar negara, kerajaan telah mengwujudkan empat pusat Pengurusan Pekerjaan iaitu masing-masing di Kota Kinabalu, Kuching, Johor Baharu dan Putra Jaya.

“Pusat ini adalah untuk membolehkan kita memantau dan mendapatkan data terperinci mengenai majikan dan jumlah pekerja dari negara ini yang bekerja di luar negara.

“Masalah ada pekerja dari Sabah yang bekerja di Singapura ini timbul kerana ejen pencari kerja yang membawa mereka ke sana tidak berdaftar dengan jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah ini, pihak kerajaan akan mengadakan rundingan dengan kerajaan di Singapura.

“Saya merayu kepada para pencari kerja dari negeri ini supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan yang menawarkan pekerjaan dan gaji lumayan dan juga janji-janji orang yang menawarkan pekerjaan.

“Lebih baik, semak dahulu siapa mereka dan rujuk kepada JTK terdekat. Kita ada 16 cawangan JTK seluruh sabah,” katanya.

Beliau juga mengingatkan para pengiklan supaya mendapatkan kelulusan daripada JTK sebelum mengiklankan jawatan kosong di luar negara.

Sumber: New Sabah Times
(Rabu, 10 Jun 2009)

0 comments: